BERITA KAMPUS: MAJLIS MUHIBAH PESTA TANGLUNG KOLEJ TEKNOLOGI ALPHA (ACT)
SEREMBAN 3 Nov. – Tanglung adalah antara kelengkapan dan
hiasan utama bagi masyarakat Cina setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina di samping pesta yang sering
diraikan menjelang berakhirnya perayaan tersebut. Tanglung juga berfungsi
sebagai lampu sebelum adanya kuasa elektrik yang diletakkan dalam sejenis bekas
untuk melindungi lilin daripada ditiup angin.
Mengikut
kepercayaan mereka, menggantung tanglung di kawasan rumah mampu memberi tuah
atau kehidupan yang lebih baik di samping memeriahkan suasana. Bagi masyarakat Cina, Pesta Tanglung
turut diraikan oleh mereka yang turut dikenali sebagai Mid-Autumn Festival yang
disambut pada hari ke-15 dalam bulan kelapan kalendar Lunar ketika bulan
mengambang.
Menyingkap
sejarah Pesta Tanglung ini, ia dipercayai berusia 2,000 tahun dengan terdapat
pelbagai agenda dan mitos mengenai asal-usul sambutannya yang menjadi
sebahagian daripada kebudayaan masyarakat Cina sejak turun temurun.
Pesta
ini juga telah disambut oleh pelajar Kolej Teknologi Alpha Seremban 2.Baru-baru
ini, lebih 350 pelajar Kolej Teknologi Alpha memeriahkan Sambutan Hari Muhibah
Pesta Tanglung anjuran Persatuan Buddhist Kolej Teknologi Alpha di perkarangan
utama kolej di sini.
Program
itu bertujuan memperkenalkan keunikan budaya masyarakat di negara ini yang
majmuk kepada penduduk di sekitar kawasan itu di samping mengeratkan lagi
hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin antara satu sama lain. Program ini
bukan sahaja disertai oleh pelajar berbangsa Cina, malah bangsa India serta
bangsa Melayu turut serta adalam acara ini.
Melalui
cara itu ia dilihat dapat menyuburkan keharmonian dan perpaduan antara kaum di
kawasan persekitaran kolej ini yang turut mendapat penyertaan pelbagai
masyarakat lapisan umur. Acara ini amat meriah dan diterima oleh semua lapisan
masyarakat kerana ia merupakan acara yang menyeronokkan.
Lebih
manis, pesta turut dimeriahkan lagi oleh masyarakat Melayu dan India sekali gus
menonjolkan keunikan sambutan pada malam berkenaan yang menterjemahkan semangat
muhibah warga Kolej Teknologi Alpha yang bersatu padu dan saling hormat
menghormati. Sebanyak 400 tanglung yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan
rupa dibawa para peserta berarak sejauh 600 meter sempena program yang turut
mendapat kerjasama daripada pemimpin tempatan.
Pengerusi
Majlis Sambutan Muhibah Pesta Tanglung, Chong Lee berkata, program itu sebagai satu
usaha mengeratkan perpaduan dalam kalangan warga kolej dan juga penduduk di
sekitarnya dan sambutan ini diterima pada malam pesta berkenaan benar-benar di
luar jangkaan.
Menurutnya
lagi, Pesta Tanglung itu merupakan sesuatu perayaan adat Kaum Cina, dan ia
tiada kaitan dengan unsur-unsur keagamaan dan merupakan budaya masyarakat itu
sejak zaman berzaman. Katanya, Pesta Tanglung adalah satu perayaan yang
disambut masyarakat Cina yang membawa maksud mengharapkan kehidupan yang baik.
“Untuk
sambutan ini kita menjemput bangsa lain juga untuk sertai kita dan kita dapati
sambutan yang diterima sangat baik daripada bangsa India dan juga bangsa
Melayu. Perayaan budaya atau festival ini tiada kaitan dengan sebarang
unsur-unsur keagamaan, ia secara tidak langsung membawa mesej yang unik iaitu
masyarakat Cina, India dan Melayu boleh hidup secara harmoni dan aman tanpa
persengketaan,” kata Chong Lee ketika ditemui pada sambutan itu.
Beliau
juga berkata bahawa pihaknya turut menghargai penglibatan semua kaum yang turut
sama berarak berkenaan dengan membawa tanglung yang disediakan dengan membawa
mesej perpaduan.
Akhir
kata dari beliau, sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat lain seperti India
dan Melayu menunjukkan keharmonian dan perpaduan yang erat dalam kalangan
masyarakat setempat dan merancang untuk meneruskan sambutan itu lagi pada tahun
hadapan dengan pengisian yang lebih banyak dan menarik lagi.
Comments
Post a Comment